Pages

Friday, July 3, 2009

Ucapan Penangguhan Ketua Wanita Cawangan Semasa Persidangan Tahunan UMNO Cawangan Pada 13 Jun 2009

Yang Dihormati Tuan Timbalan Pengerusi Tetap, Tuan Hj Yahya Sakri,
Yang Berbahagia Encik Jaafar Sabudin Ketua UMNO Cawangan Sri Damak,
Yang saya hormatkan, saudara Safuan Aman Wakil UMNO Bahagian,
Ahli jawatankuasa UMNO Cawangan Sri Damak,
Ahli jawatankuasa Pergerakan Wanita UMNO Cawangan Sri Damak,
Ahli jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO Cawangan Sri Damak,
Ahli jawatankuasa Pergerakan Puteri UMNO Cawangan Sri Damak,
tuan-tuan, puan-puan yang saya hormati sekelian,

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Pertamanya saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas di atas kehadiran semua ahli UMNO cawangan Sri Damak yang sangat komited dan ikhlas kerana telah hadir pada malam ini sehingga menyebabkan persidangan tahunan sayap-sayap parti cawangan dan persidangan tahunan cawangan dapat disempurnakan.

Saya juga menyeru dan berharap agar pertemuan kita pada malam ini akan menjadi pemangkin agar setiap seorang dari kita lebih bersemangat, lebih komited, lebih bertanggungjawab, lebih berkesedaran untuk berjuang memperkukuhkan lagi parti UMNO serta berani membuat perubahan agar parti kita dapat menambat semula hati pengundi-pengundi bagi menghadapi PRU-13 nanti.

Walaupun kita telah kelihatan amat lemah dan tersingkir kerana kekalahan di dalam PRU-12 dan juga pilihanraya-pilihanraya kecil, janganlah sekali kita lemah semangat dan mudah mengalah. Kita ibarat sedang berada di dalam sebuah kapal yang berlayar dilambung ombak badai yang menggila, masing-masing berperanan penting, ada yang mendayung, ada yang menarik layar, ada yang menentukan arah kompas dan ada yang mengemudi kapal. Jangan ada sekali-kali di antara kita yang membuat lubang pula, akibatnya kapal akan tenggelam sebelum sampai ke destinasi yang dituju.

Begitulah juga kita di dalam satu persatuan, mesti bersama-sama bersatu hati, mencantum fikiran dan menggabung kekuatan masing-masing agar parti kita iaitu parti UMNO, satu-satunya parti yang membela nasib orang-orang Melayu tanpa berbelah bahagi agar terus relevan dan dihormati oleh kaum yang lain.

Kita telah jatuh, tetapi kita belum terkeluar dari perlumbaan. Kadang-kadang untuk mendapatkan satu momentum, kita terpaksa berundur ke belakang sedikit untuk melonjak ke hadapan atau ke atas. Layang-layang akan terbang lebih tinggi menentang arus angin. Cabaran-cabaran yang datang bukan untuk mematahkan semangat tetapi untuk kita membajakan perjuangan.

Di tanahair ini Melayu sinonim dengan Islam. Orang Melayu adalah Islam dan Islam dimuliakan oleh Melayu. Siapa lagi yang akan memuliakan agama Islam kalau tidak kita orang-orang Melayu? jadi perjuangan kita parti Melayu bukan hanya memperjuangkan bangsa, kita juga adalah pembela agama Islam.

YAB Perdana Menteri kita Dato Seri Najib Tun Abd Razak telah melancarkan konsep 1 Malaysia, Rakyat didahulukan, Prestasi diutamakan. Marilah kita bersama-sama beliau mengembara di dalam satu perjalanan hebat di bawah konsep 1 Malaysia sebagai satu identiti rakyat Malaysia untuk membangunkan negara khususnya agar kita mampu bersaing menghadapi dalam era globalisasi dan cabaran dunia tanpa sempadan.

Sekian, wabillahi taufik wal hidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Salam hormat,
Hjh Nadzifah Maarof
Ketua Wanita UMNO Cawangan Sri Damak.