Pages

Tuesday, July 28, 2009

10 K dalam persahabatan

* KECINTAAN merupakan elemen yang paling penting sekali dalam sesebuah persahabatan. Ikatan sesebuah persahabatan akan mudah rapuh jika tiadanya kecintaan antara dua insan yang disandarkan kepada Si Pemilik cinta itu sendiri. Sebab itu, kadang-kadang perlunya kita meluahkan rasa cinta kita terhadap sahabat kita dengan mengungkap, "uhibbuka/i fillah" (bagi sahabat-sahabat yang sama jantina sahaja) agar mereka tahu betapa cintanya kita terhadap mereka, kerana Allah (insyaAllah) .

* KASIH SAYANG lebih kurang sama sahaja maksudnya dengan kecintaan. Namun, setelah kita mencintai sahabat kita, perlunya kita curahkan segala kasih sayang kita terhadap mereka. Tetapi, kadangkala kasih sayang tidak perlu dipamerkan secara luaran. Cukuplah sekadar kita mendoakan untuk sahabat-sahabat kita, insyaAllah, itu sudah cukup membuktikan betapa sayangnya kita terhadap mereka.

* KEIKHLASAN dapat menjamin sesebuah persahabatan mendapat keberkatan dan rahmat daripada Illahi. Tidak ikhlas ketika bersahabat dengan seseorang akan mengundang permusuhan antara sahabat. Bersahabatlah dengan seseorang kerana keluhuran hati budinya, bukan kerana rupa, pangkat atau harta yang dimilikinya.

* KESETIAAN terhadap seseorang sahabat mampu memanjangkan tali persahabatan walaupun jarang bertemu. Apabila kita setia terhadap kita, kita akan diingati oleh mereka sehingga akhir hayat mereka, kerana tidak kira susah atau senang, kita setia berada di sisinya memberi sokongan, insyaAllah.

* KEBERANIAN dalam berkata benar. Dalam persahabatan juga, kita hendaklah berani apabila ingin mengatakan sesuatu. Lebih-lebih lagi jika kita telah melakukan sesuatu yang menyakiti hatinya, kita kena berani mengaku padanya atas kesilapan yang dilakukan. Selain itu, berani juga dalam menasihati sahabat kita. kerana sebagai sahabat, kita mesti mahukan yang terbaik untuk mereka kan?

* KEJUJURAN juga perlu dalam persahabatan. Jangan sesekali menipu atau menyembunyikan apa-apa daripada pengetahuan sahabat kita. Mereka juga perlu tahu apa yang kita lalui dalam kehidupan kita. Jangan berahsia, melainkan pada perkara yang benar-benar perlu dirahsiakan (hehehe).

* KEMAAFAN. Sekiranya sahabat kita pernah melakukan sebarang kesilapan, bersedialah untuk memaafkannya, tidak kira sebesar manapun kesalahan mereka terhadap kita kerana sahabat yang baik adalah sahabat yang bersedia untuk memaafkan sahabatnya. Jika kita yang bersalah, janganlah malu untuk meminta maaf daripada mereka kerana orang yang dahulu meminta maaf adalah orang yang hebat.

* KESEDIHAN. Apabila kita sedar bahawa sahabat kita sedang bersedih, maka, ikutlah sedih bersama-sama dengan mereka. Tawarkanlah bahu kita untuk dijadikan tadahan air mata mereka. Kerana tiada siapa yang akan mereka cari selain kita sahabat mereka.

* KEGEMBIRAAN. Begitu juga dengan kegembiraan. Jika kita gembira, maka marilah berkongsi kegembiraan itu bersama sahabat-sahabat tercinta. Tidak mahukah kita bergelak tawa dengan mereka? Tidak mahukah kita melihat ukiran-ukiran senyuman indah di raut wajah mereka? Kegembiraan kita, kegembiraan mereka jua.

* KESERASIAN di sini bukanlah bermaksud, "Kau cantik, aku mesti cantik," "Kau kaya, aku pun kena kaya". Tidak sama sekali. Sememangnya manusia dijadikan oleh Allah berbeza-beza, namun, dalam persahabatan keserasian dapat diwujudkan apabila terbinanya persefahaman antara dua pihak. Apabila ada persefahaman, barulah hubungan kita dengan sahabat kita akan menjadi lebih baik dan akan berkurangnya pergaduhan disebabkan salah faham (hehehe).

Alhamdulillah, itulah dia 10 K yang dapat saya simpulkan mengenai persahabatan. Maaf kalau agak membosankan, namun saya tetap ingin berkongsi pendapat saya mengenai topik ini.

Friday, July 3, 2009

Ucapan Penangguhan Ketua Wanita Cawangan Semasa Persidangan Tahunan UMNO Cawangan Pada 13 Jun 2009

Yang Dihormati Tuan Timbalan Pengerusi Tetap, Tuan Hj Yahya Sakri,
Yang Berbahagia Encik Jaafar Sabudin Ketua UMNO Cawangan Sri Damak,
Yang saya hormatkan, saudara Safuan Aman Wakil UMNO Bahagian,
Ahli jawatankuasa UMNO Cawangan Sri Damak,
Ahli jawatankuasa Pergerakan Wanita UMNO Cawangan Sri Damak,
Ahli jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO Cawangan Sri Damak,
Ahli jawatankuasa Pergerakan Puteri UMNO Cawangan Sri Damak,
tuan-tuan, puan-puan yang saya hormati sekelian,

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Pertamanya saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas di atas kehadiran semua ahli UMNO cawangan Sri Damak yang sangat komited dan ikhlas kerana telah hadir pada malam ini sehingga menyebabkan persidangan tahunan sayap-sayap parti cawangan dan persidangan tahunan cawangan dapat disempurnakan.

Saya juga menyeru dan berharap agar pertemuan kita pada malam ini akan menjadi pemangkin agar setiap seorang dari kita lebih bersemangat, lebih komited, lebih bertanggungjawab, lebih berkesedaran untuk berjuang memperkukuhkan lagi parti UMNO serta berani membuat perubahan agar parti kita dapat menambat semula hati pengundi-pengundi bagi menghadapi PRU-13 nanti.

Walaupun kita telah kelihatan amat lemah dan tersingkir kerana kekalahan di dalam PRU-12 dan juga pilihanraya-pilihanraya kecil, janganlah sekali kita lemah semangat dan mudah mengalah. Kita ibarat sedang berada di dalam sebuah kapal yang berlayar dilambung ombak badai yang menggila, masing-masing berperanan penting, ada yang mendayung, ada yang menarik layar, ada yang menentukan arah kompas dan ada yang mengemudi kapal. Jangan ada sekali-kali di antara kita yang membuat lubang pula, akibatnya kapal akan tenggelam sebelum sampai ke destinasi yang dituju.

Begitulah juga kita di dalam satu persatuan, mesti bersama-sama bersatu hati, mencantum fikiran dan menggabung kekuatan masing-masing agar parti kita iaitu parti UMNO, satu-satunya parti yang membela nasib orang-orang Melayu tanpa berbelah bahagi agar terus relevan dan dihormati oleh kaum yang lain.

Kita telah jatuh, tetapi kita belum terkeluar dari perlumbaan. Kadang-kadang untuk mendapatkan satu momentum, kita terpaksa berundur ke belakang sedikit untuk melonjak ke hadapan atau ke atas. Layang-layang akan terbang lebih tinggi menentang arus angin. Cabaran-cabaran yang datang bukan untuk mematahkan semangat tetapi untuk kita membajakan perjuangan.

Di tanahair ini Melayu sinonim dengan Islam. Orang Melayu adalah Islam dan Islam dimuliakan oleh Melayu. Siapa lagi yang akan memuliakan agama Islam kalau tidak kita orang-orang Melayu? jadi perjuangan kita parti Melayu bukan hanya memperjuangkan bangsa, kita juga adalah pembela agama Islam.

YAB Perdana Menteri kita Dato Seri Najib Tun Abd Razak telah melancarkan konsep 1 Malaysia, Rakyat didahulukan, Prestasi diutamakan. Marilah kita bersama-sama beliau mengembara di dalam satu perjalanan hebat di bawah konsep 1 Malaysia sebagai satu identiti rakyat Malaysia untuk membangunkan negara khususnya agar kita mampu bersaing menghadapi dalam era globalisasi dan cabaran dunia tanpa sempadan.

Sekian, wabillahi taufik wal hidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Salam hormat,
Hjh Nadzifah Maarof
Ketua Wanita UMNO Cawangan Sri Damak.